“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia sukakan menjalin silaturrahim” (Hadith Riwayat Al- Bukhari).
Dalam berinteraksi sebagai makhluk sosial, manusia diibaratkan seperti senduk dan belanga. Maksudnya, dalam interaksi senduk seringkali menyentuh belanga, bahkan sampai mengeluarkan bunyi agak kuat. Namun keduanya seakan-akan selalu bermaaf-maafan dan menjadi teman setia sekian lama. Demikian juga manusia, yang dalam interaksi sesamanya kadangkala menyentuh hati manusia lain. Sebab itu Islam menganjurkan kita untuk selalu memperbaharui silaturrahim.
Sebagaimana namanya, “silah” ertinya hubungan atau menghubungkan, dan “ar-rahmi” ertinya kasih sayang. Dilihat dari maknanya, sudah jelas mengapa Allah sangat menganjurkan hamba-hamba Nya sentiasa memelihara dan memperbaharuinya. Lebih-lebih lagi pada waktu menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Aidil Fitri.
Banyak keuntungan diperolehi dari silaturrahim, antaranya disebutkan dalam hadith di atas iaitu dimudahkan mendapat rezeki dan dipanjangkan umur. Rezeki Allah swt kadangkala diberikan melalui tangan-tangan manusia atau sepatah kata dari orang lain. Sepatah kata yang bijak dan bermanfaat dari orang lain tidak tertutup kemungkinan menggugat dan membuka fikiran kita seluas-luasnya, sehingga mampu melihat peluang-peluang rezeki yang dihamparkan Allah swt setiap hari di dunia ini. Oleh kerana itu, silaturrahim sebaiknya dilakukan bukan hanya dengan orang-orang yang dikenal, tetapi juga dengan orang yang tidak dikenali.
Selanjutnya, umur manusia yang sukakan bersilaturrahim akan mendapat keberkatan. Kerana hidup dalam kedamaian, sebagai akibat kesan kebaikan dari silaturrahim, menjadi benar-benar terisi dan penuh nikmatnya, tidak takut dalam mencari rezeki, dan boleh beribadah kepada Allah dengan semaksima mungkin.
No comments:
Post a Comment